Pengalaman Pertama Menyusukan Bayi

Wednesday, October 14, 2015

Beberapa minggu sebelum melahirkan Ziyad, Wa dah mula tengok di Youtube cara-cara menyusukan bayi dengan betul. Paling Wa tertarik ialah video bayi yang bergerak sendiri mencari putting ibunya selepas beberapa saat dilahirkan. Masa skin to skin moment. Ajaibnya bayi tak perlu di ajar. Dia sendiri akan mula mencari dan menghisap susu pertamanya. Bila orang kata, dia tak pandai menyusu, rupanya memang sifat semula jadi selepas lahir dia pandai menyusu. Cuma kita perlu perbaiki mengikut keadaan.

Selepas beberapa jam melahirkan Ziyad, dek kerana tiada nurse yang bantu Wa untuk menyusukan Ziyad plus masa tu macam takda orang yang ada. Nurse pun letak saja baby dalam basinat tu tanpa minta Wa susukan. Kita yang keletihan ni memang tak terfikir, lama juga dalam 3-4 jam baru Wa minta nurse beri Ziyad pada Wa. Dalam Youtube, kebanyakkan baby akan letak diatas badan dan terus disusukan. Masa menjahit tu di lekakan ibu sebentar dengan moment indah bersama bayi kita. Masa Wa cuba susukan Ziyad, dia langsung tak buka mulut, seolah tak lapar. Layan tidur lagi ada. Nurse pun tolong picitkan untuk keluarkan susu. Ada nampak satu mata susu. Memang sikit. Nurse kata nanti cuba lagi. Wa pun pegang Ziyad dan tunggu masa lagi. Cuba lagi tapi hampa.  Doktor pesan takut baby dehydrate.

Sampai di wad, Wa rehat sekejap dan ambil lagi peluang untuk susukan. Alhamdulillah dia mula menghisap. Tapi agak payah sebab puting agak pendek. Asalkan di hisap, Wa berdoa agar dia dapat susu pertamanya. Susu yang paling berharga untuk semua bayi. Lepas susukan, dia sambung tidur. Sekejap sangat menyusu, dalam hati risau sangat dia lapar. Sehingga sebelum keluar Wad, Wa masih cuba susukan dia, tapi masih lagi tak berjaya. Dengan tak selesa, katil yang tinggi, sakit jahitan, tiada orang yang bantu..memang agak stress. Paling Wa terkilan, ada nurse yang datang, " Puan tahukan cara nak susukan bayi? ", " Puan kami di sini tak mandikan bayi, puan tahukan cara nak mandikan bayi? ". Hmm rasa terkilan sebab Wa rasa tak perlu tanya, tahu atau tidak memang patut nurse tunjuk ajar cara yang betul. Paling penting nurse ada bersama waktu nak susukan bayi sehingga berjaya.

Balik dari hospital, masih cuba susukan. Macam biasa dia hanya hisap sedikit saja. Dengan puting yang pendek memang susah nak berikan susu. Masa tu tak pandai lagi nak bagi dia susu. Hari-hari cuba keluarkan puting tapi nampak tak berhasil. Susu pun masih tak banyak lagi. Kesian sangat. Sudahnya hampir 2 hari Ziyad tak dapat susu dengan kenyang. Wa dah mula resah malam tak boleh tidur sebab dia lapar. Takkan tak nak bagi susu! Wa mula cadangkan bagi susu formula sementara susu Wa banyak. Tambah pula, Ziyad dah mula nampak kuning! Memang gelabah sangat. Nurse yang datang cek pun kata kuning. Dia beri borang untuk cek kuning. Macam-macam Wa tanya pada kawan-kawan, mostly suggest stanby susu formula. Pada malamnya kakak ipar Wa datang tolong ajarkan dan urut juga. Dia belikan nipple shield, tapi tak berkesan sebab puting terlalu besar, Ziyad pula tak berapa nak hisap.

Bila terjadi perkara sebegini, ibu mana yang tak sedih. Kalau boleh nak beri susu sendiri secara ekslusif. Tapi apakan daya. Susu pun tak keluar. Ibu mertua minta mak bidan datang untuk urut. Memang dah mula membengkak, sebab susu tak keluar. Mak bidan urut, baru lah keluar 2-3 mata susu. Itu pun di picit habis. Sakit tahu. Keesokkan harinya, pergi ke KK Bangi cek kuning. Memang tinggi kuning Ziyad. Nanti Wa share amalan nak turunkan kuning ikut pengalaman Wa. Ibu juga perlu berjumpa nurse dan doktor untuk pemeriksaan selepas bersalin. Wa mengadu pada doktor susu tak keluar banyak. Kata mak bidan, puting buta mata. Doktor minta jumpa nurse berpengalaman. Cuba teka nurse buat apa? Dia ajar dimana cara nak picit supaya keluar susu. Kawasan aerola perlu di tarik keluar dan kedalam bukan putingnya. Sekali dia urut dan picit, mengalir-ngalir susu. Terus terang rasa sebak sangat. Nurse tu bagi semangat dan nasihat. Puting pendek bukan sebab anak tak boleh menyusu!



Rasa bersemangat semula. Antara nasihat nurse tu beri yang buat Wa bersemangat ;
  • Set dalam fikiran, susu itu ada dan cukup untuk bayi
  • Sebelum susukan, basahkan puting dengan susu ibu supaya bayi bau susu ibunya
  • Urut dan picit bahagian aerola untuk keluar kan susu, bukan tarik puting
  • Puting pendek bukan penyebab tak boleh susukan anak
  • Susu akan keluar dengan banyak jika kerap beri anak susu
  • Walaupun susu sedikit, atau tiada, kerapkan bagi susu. Ia akan bantu pengeluaran susu ibu dan puting nanti
  • Sokongan keluarga memang penting. Kuat kan hati, pekak kan telinga jika dengar kata-kata negatif. Set fikiran awak, awak nak susukan anak awak.
Memang tak boleh lupa nurse tu cakap. Keluar saja bilik, berkobar-kobar balik nak perah susu. Nurse bagi syringe untuk sedut susu yang keluar jika masih sedikit. Sampai kat rumah, mula lah sesi memicit. Keluar susu sehingga tadah dalam tupperware. Inilah susu kuning tu. Wa masukkan dalam syringe dan beri pada Ziyad.  Even terlambat, Wa harap dia dapat juga rasa masa hari pertama dan kedua yang lepas. Wa yakin dia dapat even sikit. Lega rasa dapat bagi. Kemudian, Wa mula beri susu direct, agak susah sikit. Mama sampai kena tarik puting dan suakan dengan mulut Ziyad, lega dia minum walaupun tak sempurna caranya. Bila tak dapat memang dia mengamuk. Stanby juga susu formula. Selepas tu, Wa mula pam. Alhamdulillah susu mula banyak dan sebab pam puting mula ada.

Pam 1 jam dapat juga 1-3 oz. Walaupun tak banyak tapi memadai bagi Wa untuk beri dia minum susu ibu. Memang tak cukup. Sukarnya menjadi ibu baru untuk terima pelbagai kata-kata yang kita mudah tersentuh. Yang kadang-kadang kita rasa teruknya kita sebagai ibu bagi susu formula pada anak kita. Wa memang stress, sedih dan down sangat masa tu. Kalau boleh hari-hari nak menangis. Yalah orang berpantang mana elok nak beremosi dan menangis. Tapi ada tak orang fikir sebelum nak berkata-kata. Tak ada pun orang fikir, yang ada cuma kata-kata tak bagus beri susu formula, kenapa tak susukan sendiri, kenapa tak bagi susu ibu, kenapa bagi susu fomula, puting takda, puting pendek, dia takda susu, susu sikit, susah, kesian baby dannn kenapa kenapa kenapa. Siapa yang tak nak beri yang terbaik untuk anaknya? 



Mental kena kuat. Itulah perlunya sokongan suami dan keluarga. Jika tiada sokongan ini, memang ibu akan jadi gila. Betul lah rasanya boleh jadi gila. Sakit bersalin pun tak habis lagi, inikan kena pula kutuk sebab bagi susu formula. Pedihnya. Sehingga satu tahap jika Wa seorang diri, Wa menangis sendiri. Rasa semua risaukan bayi berbanding ibunya. Walaupun nurse ada pesan, tempoh berpantang ini penting untuk ibu. Pentingkan kesihatan ibu, anak tak menyusu banyak takpa sebab perutnya memang kecil dan tak perlu susu yang banyak. Cukup diberi mengikut apa yang dia mahu. Mama hari-hari akan pesan, beri susu even dia tak pandai hisap lagi. Cuba dan cuba. Tahu tak, dah usia 3 minggu baru Ziyad pandai menyusu direct! Sabar lah bakal ibu, usaha pasti berjaya. Kata-kata perangsang dan sokongan suami memang penting. Bukan tengok je kepayahan isteri. Selamilah hati isteri, share bebanan tu bersama. Wa akui, berat sangat tekanan tu. Sampai hidung pun berdarah fikirkan masalah.

Nak jadi ibu kena kuat! 

1 comment

  1. Eh betullah , perasaan susu tak banyak tu sangat menakutkan. Kita pun positifkan diri je susu akan banyak. Huhu. Minta minta cukuplah untuk anak.

    ReplyDelete

Latest Instagrams

© Wakdingding. Design by FCD.